RISALAH RAMADHAN
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Alhamdulillah, Tuhan sekalian alam yang mencipta makhlukNya dari tiada kepada wujud, yang tidak memerlukan kepada makhlukNya, Dia yang mencipta tempat, wujudNya tanpa bertempat, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarga serta sahabat baginda.
Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan ibadah yang teramat agung, pahalanya dikhususkan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang berpuasa seperti mana dinyatakan di dalam hadis qudsi : Allah berfirman yang bermaksud :
“ Setiap kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah kepunyaanKu,
maka akanKu gandakan pahalanya ”.
KEWAJIBAN PUASA.
Difardhukan puasa bulan Ramadhan pada tahun kedua hijriyyah dan Rasulullah berpuasa sembilan tahun kemudiannya sebelum baginda wafat (sembilan kali).
Berpuasa di bulan Ramadhan adalah diketahui kewajibannya secara dhoruriy iaitu para alim-ulama’ dan orang awam Islam juga mengetahuinya. Barangsiapa yang mengingkari kefardhuannya maka ia kafir kecualilah dia seorang yang baru memeluk Islam atau hidup dalam keadaan yang jauh dari ulama’.
Manakala sesiapa yang berbuka puasa di siang Ramadhan tanpa keuzuran syara’ dalam keadaan dia beriktikad kewajiban berpuasa ke atas dirinya maka dia tidak kafir tetapi dihukum sebagai pelaku maksiat dan diwajibkan ke atasnya ganti (qodho’) puasa yang telah ditinggalkannya.
Puasa dari segi bahasa bererti menahan diri. Dari segi istilah syara’ pula menahan diri dari makan, minum dan selain keduanya bermula dari terbit fajar sehingga maghrib bersama dengan niat di dalam hati.
Dalil kewajiban puasa bulan Ramadhan selain daripada ijma’ ulama’ adalah firman Allah yang berbunyi “ Kutiba ‘alaikumus siyaam” ‘ diwajibkan ke atas kamu semua puasa ’
Dan berdalilkan dari sabda Rasulullah yang bererti :
“ Islam terbina di atas
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
WAJIB MUROQOBAH
ANAK BULAN RAMADHAN
PADA MALAM 30 BULAN SYA’BAN.
Puasa diwajibkan berdasarkan dua perkara :
- Sempurna Sya’ban 30 hari.
- Melihat anak bulan (hilal) pada malam 30 Sya’ban
Berdasarkan daripada hadis Rasulullah yang bermaksud : “ Berpuasalah dengan melihatnya (anak bulan) dan berhari rayalah dengan melihatnya (anak bulan), sekiranya terhalang ke atas kamu maka sempurnakan bulan Sya’ban 30 hari.
(Riwayat : Bukhari, MusliM Ashabus Sunan & selainnya)
Ini menunjukkan sesiapa yang melihat anak bulan Ramadhan maka diwajibkan ke atasnya berpuasa, bagi sesiapa yang tidak melihatnya tetapi diberitahu oleh muslim yang boleh dipercayai (thiqqah) yang adil, merdeka, tidak berdusta maka wajib ke atasnya puasa.
Diriwayatkan Abu Daud daripada Ibnu Umar Rodhiallaahu ‘Anhuma berkata : “ Aku telah memberitahu Rasulullah bahawa aku telah melihat anak bulan Ramadhan maka baginda pun berpuasa dan menyuruh umatnya berpuasa.” (Hadith diriwayat & disahihkan oleh Ibnu Hibban) .
Sekiranya berita melihat anak bulan Ramadhan itu diberitahu oleh kanak-kanak atau orang yang fasik atau perempuan atau hamba abdi maka harus berpuasa sekiranya dipercayai. Sekiranya tidak hendaklah disempurnakan bulan Sya’ban 30 hari.
Sekiranya Qodhi telah menetapkan puasa maka wajib berpuasa ke atas penduduk negeri itu dan juga penduduk negeri-negeri yang berhampiran dengannya yang mana terbit dan terbenamnya matahari adalah sama. Dalam mazhab Imam Asy-Syafi’ie hukum tersebut tidak kepada yang berbeza terbit dan tenggelamnya matahari.
Manakala di sisi Imam Abu Hanifah wajib puasa ke atas semua penduduk yang telah mengetahui ketetapan bulan Ramadhan walaupun di negeri-negeri yang berjauhan daripada negeri yang melihat anak bulan. Ini bererti bahawa di sisi mazhab Hanafi mereka yang duduk di barat wajib berpuasa sekiranya mereka mengetahui ketetapannya dari penduduk timur begitu juga sebaliknya.
" نحن أنصار دين الله - كفى هذا قيمة "



