Cari Blog Ini

14 Jun 2008

ALLAH PENCIPTA ALAM INI ( AL-KHALIQ )

Firman Allah Taala dalam Surah Ibrahim, ayat 10 :

" أفي الله شك "

Maksudnya: Adakah sebarang keraguan mengenai (kewujudan) Allah???.
* Jawapannya sudah tentu tiada keraguan mengenai kewujudan Allah.

Perkara utama yang wajib bagi setiap orang yang mukallaf ialah mengetahui dan beriman kepada Allah Taala, bahawa Dialah Maha Pencipta (Al-Khaliq) segalanya, yang mentadbir (Al-Mudabbir) sekelian alam. Ini kerana sekiranya kita meneliti segala ciptaan, sudah pasti kita mengetahui dan mengakui bahawa pasti ada penciptanya.

DALIL AKAL ( LOGIK AKAL) MENGENAI KEWUJUDAN ALLAH:

Setiap orang yang berakal sempurna akan mengatakan sebarang tulisan sudah pasti ada penulisnya, setiap binaan sudah pasti ada pembinanya. Oleh itu alam yang luas terbentang ini yang di dalamnya terdapat segala kehidupan dan segala kejadian yang berbagai jenis dan spesis, berbagai bentuk dan rupa, berbagai warna dan sifat, peredaran malam dan siang, perubahan cuaca dan iklim, sudah pasti ada pencipta yang bersifat Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Berkehendak iaitu Allah Taala.

Maka Allah tidak menyerupai segala kejadian yang ada di langit mahupun yang ada di bumi kerana Allah adalah Tuhan, begitu juga segala kejadian tidak menyerupai Allah kerana kejadian adalah makhluk ciptaan Tuhan. Mustahil Tuhan sama dengan makhluk, begitu juga mustahil makhluk sama dengan Tuhan.

Akal yang sempurna sudah pasti membenarkan dan menetapkan bahawa ada sesuatu atau terjadi sesuatu sudah pasti ada yang membuatnya atau melakukannya. Mustahil ada sesuatu atau berlaku sesuatu dengan sendirinya. Hanya orang yang gila atau tidak waras sahaja akan mengatakan ada sesuatu atau terjadi sesuatu tanpa ada yang melakukannya.

- Tidak dapat diterima yang membuat atau melakukan adalah tabie kerana tabie
tiada kehendak, bagaimana pula boleh mencipta?
- Tidak dapat diterima sesuatu itu menciptakan atau menjadikan dirinya sendiri.
- Tidak dapat diterima sesuatu yang dijadikan seperti dirinya atau menyerupainya.

Kanak-kanak sebagai contohnya dilahirkan kecil, tidak dapat bercakap dan berjalan. Kemudian berkembang maka berubah kepada boleh bercakap, berjalan dan sebagainya. Kemudian membesar menjadi dewasa, tua seterusnya mati. Jika diteliti, siapakah yang menjadikan proses tersebut yang mengubahkan dari satu keadaan ke satu keadaan? Maka jawapannya sudah tentu Allah yang menjadikan dan mengubahnya dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Tidak mungkin atau mustahil manusia itu sendiri menjadikan dirinya dengan bentuk tubuh badan atau bersifat begini atau begitu.

" نحن أنصار دبن الله - كفى هذا قيمة "

Tiada ulasan:

Catat Ulasan