Cari Blog Ini

26 Januari 2009

SEBAB MULUT BADAN BINASA

KALAM HIKMAH SYEIKH ABDULLAH AL-HARARY

قََالَ الإِمَامُ الشَّيْخُ عَبْدُ اللهِ الهَرَرِيُّ رَحِمَهُ اللهُ :

عَلَيْكَ بِطُوْلِ الصَّمْتِ يَا صَاحِبَ الحِجَى
لِتَسْلَمَ فِي الدُّنْيَا وَ يَوْمَ القِيَامَةِ


Telah berkata Al-Imam Asy-Syeikh Abdullah Al-Harary
Yang Dirahmati Allah :


" Ke atas kamu untuk senantiasa berdiam diri
wahai orang yang bijaksana

agar kamu terselamat
di dunia dan hari kiamat ".


Mutiara Hikmah daripada Al-Imam Asy-Syeikh Abdullah Al-Harary ini merupakan satu nasihat kepada kita semua agar senantiasa/berpanjangan berdiam diri iaitu daripada memperkatakan ataupun menuturkan bicara yang terkandung di dalamnya maksiat dan dosa seperti mengumpat, memaki hamun, mencarut, menipu dan sebagainya.

Adapun saranan agar kita senantiasa berdiam diri bukanlah pula bermaksud kita diam dan terus membisu daripada berkata-kata pada segala aspek termasuk dalam hal mencegah kemungkaran mahupun dalam memberi pengawasan kepada masyarakat daripada ajaran-ajaran songsang kerana ianya merupakan satu kewajiban dan tanggungjawab bersama.

Seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abdullah Bin Mas'ud pernah pada satu ketika mengambil (memegang) lidahnya lalu memberitahu kepada lidahnya :

يَا لِسَان! قُلْ خَيْرًا تَغْنَمْ وَاسْكُتْ عَن شَرِّ تَسْلَمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَنْدَم،
إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله ُعلََيْهِ وَ سَلَّمَ يَقُولُ : أَكْثَرُ خَطَايَ ابْنِ ءَادَمَ مِن لِّسَانِهِ


Maksudnya :
Wahai Lidah ! Berkatalah yang baik nescaya kamu akan sejahtera
dan diamlah daripada berkata yang buruk (jahat)
nescaya kamu akan selamat sebelum kamu menyesalinya;
Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah
Sallallaahu 'Alaihi Wasallam bersabda :
" Paling banyak dosa anak adam (manusia) itu adalah daripada lidahnya ".


" نحن أنصار دين الله - كفى هذا قيمة "