

Dr. Haron Din persoal mengapa penuduh pula yang bersumpah?
| Intan Abdullah | Foto Wan Zahari Wan Salleh Sat | Aug 16, 08 | 3:57:25 pm MYT | |
| IPOH, 16 Ogos (Hrkh) - Isu liwat yang membabitkan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan merupakan suatu keganjilan. Demikian menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din kepada Harakahdaily hari ini di Muktamar Tahunan PAS kali ke-54. Bahkan tambahnya, pihak yang kena tuduh (Anwar) pula sedang menunggu perbicaraan. Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga bertambah hairan apabila Saiful bersungguh-sungguh meminta Allah melaknat dirinya beserta keluarganya dalam sumpah tersebut. "Mendengar Saiful melibatkan memohon kepada Allah melaknatinya beserta keluarga dan keturunannya tanpa menyebutkan berapa lama seolah-olah sampai ke hari kiamat, mana ada sumpah yang meminta Allah melaknati keturunan?" "Tidak sepatutnya keturunan yang akan mewarisi kita dilaknati Allah bersama atas permintaan kita sedangkan mereka (keluarga) tidak melakukan kesalahan," ujarnya. Beliau turut mempertikaikan dalang di sebalik majlis angkat sumpah semalam oleh Saiful. "Saya tidak nampak ini suatu cara yang sebenarnya berlaku dalam hukum syarak. "Iaitu siapa yang menasihati dirinya, sama ada orang politik atau siapa?" tegasnya. Dalam pada itu, Haron turut mempertikaikan sumpah yang dilafazkan oleh Saiful sebagai tidak dibuat dengan persiapan yang rapi apabila Saiful tersasul menyebut kalimah sumpah tersebut. "Ianya seolah-olah tidak diprogramkan secara teliti, dengan persiapan yang tidak cukup sehingga sampai ke peringkat menyebutkan kalimah sumpah pun tersasul," katanya lagi. Selain itu, beliau menyatakan bahawa mesej Saiful yang kononnya tidak mengetahui tarikh penamaan calon Anwar dengan mengatakan ianya suatu kebetulan adalah bermotif politik. "Ianya dibuat secara tergesa-gesa sebab dirujuk kepada orang yang benar-benar mengetahui prosiding sumpah sperti ini atau mungkin Saiful tidak diberi penerangan yang sejelas-jelasnya tentang akibat sumpah. "Kenapa beliau tidak boleh menunggu sehingga proses mahkamah berjalan dan hukuman dijatuhkan dan apa kepentingan dirinya untuk bersumpah? "Adakah ia agenda dirinya atau orang lain," ujarnya lagi. |
Sumber :
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16462&Itemid=1
" نحن أنصار دين الله - كفى هذا قيمة "

